Berikut ini adalah 7 langkah utama untuk meningkatkan dan memantapkan keyakinan diri anda....
1. Bina Prinsip dan Moto Hidup yang Mantap
Benteng semangat juang ialah prinsip / falsafah dan moto diri seseorang. Prinsip dan Moto hidup adalah pegangan, prinsip atau pendirian yang dijadikan sebagai asas panduan mencapai kejayaan.
Antara prinsip atau moto hidup atau peribahasa yang diterima oleh masyarakat kita ialah: "Belakang parang kalau diasah lagikan tajam" (Biar bodoh sekalipun kalau belajar bersungguh-sungguh, nescaya akan menjadi pandai juga.) atau, "Genggam bara api biar sampai jadi arang" atau "Kalau tidak dipecahkan royong, manakan dapat sagunya". Satu lagi peribahasa ialah "Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan." Peribahasa-peribahasa ini semuanya menyeru kita membuat sesuatu pekerjaan dengan sabar dan cekal sehingga berjaya. Lebih banyak prinsip atau moto hidup yang anda dapat tanamkan pada diri anda, akan lebih teguhlah pendirian anda dan lebih yakin pulalah anda terhadap kemampuan serta potensi diri anda.
2. Kenal pasti Matlamat & Halatuju Hidup
Seseorang yang tidak mempunyai matlamat dan halatuju hidup yang jelas seolah-seolah meniti kehidupannya dalam keadaan gelap yang tidak pasti akan ke mana arahnya.
3. Bina Pelan Tindakan Kejayaan Diri
Setelah anda mengenal pasti matlamat-matlamat dan halatuju anda serta prinsip-prinsip hidup anda, anda hendaklah pula merangka pelan tindakan kejayaan diri anda secara bertulis.
Dengan adanya perancangan kejayaan diri anda secara bertulis, anda akan lebih terarah, komited serta sentiasa dapat merujuk pelan tindakan anda, memperbaiki atau mengubahnya mengikut keperluan.
4. Sentiasa Tingkatkan Ilmu & Pengalaman
Amalan meningkatkan ilmu pengetahuan akan membolehkan anda mengetahui perkara-perkara baru atau isu-isu semasa. Pengetahuan atau ilmu-ilmu baru ini akan membolehkan untuk meningkatkan lagi keupayaan dan keyakinan anda menangani cabaran-cabaran semasa.Pelbagai cara yang anda boleh lakukan untuk mendapatkan ilmu baru. Antaranya membaca buku-buku serta artikel-artikel, menghadiri kursus atau seminar, bertukar-tukar pendapat dengan rakan-rakan, membuat lawatan sambil belajar, mengikuti latihan praktikal dan banyak lagi. 5. Sentiasa Tingkatkan Kemahiran Diri Anda akan lebih yakin diri apabila anda mempunyai kemahiran yang secukupnya dalam melakukan sesuatu kerja. Salah satu sebab mengapa ramai orang yang sangat takut apabila diminta bercakap di hadapan penonton ialah kerana mereka kurang kemahiran berucap di hadapan audiens. Salah satu cara berkesan untuk mengatasi kegugupan, ketakutan atau ketidakyakinan berucap di hadapan audiens ialah dengan cara mempelajari secara bersungguh-sungguh setiap aspek pengucapan awam di samping membuat seberapa banyak latihan berucap sehinggalah kemahiran pengucapan awam itu dapat dikuasai dan menjadi sebati pada diri.
6. Sentiasa Teratur dan Siap SediaSeorang pelajar yang hanya mula menelaah pelajaran di saat-saat akhir akan mengalami kegusaran dan ketidakyakinan diri. Keadaan begini juga juga boleh berlaku kepada pekerja-pekerja yang mempunyai amalan menangguh-nangguhkan kerja.
Untuk mengatasi keadaan negatif ini, kita mestilah menerapkan pada diri kita amalan pengurusan masa dan diri yang baik. Tempat kerja dan kerja mestilah sistematik. Kita mestilah sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan diri kita sentiasa bersedia dan dapat bertindak balas dengan pantas dan cekap setiap kali khidmat kita dikehendaki.
7. Sentiasa Menjaga Kesihatan & Ketrampilan Diri
Kesihatan diri kita amat berkait rapat dengan keyakinan diri. Jika kesihatan diri kita baik, badan kita juga akan lebih cergas. Jika kurang sihat atau sakit-sakit, badan kita akan lemah, fikiran menjadi kusut dan diri kurang bermaya. Keadaan begini boleh menjejaskan keyakinan diri kita.Antara perkara-perkara yang mesti kita lakukan secara berterusan untuk memastikan kesihatan diri kita sentiasa baik ialah dengan menjaga cara pemakanan kita, sentiasa cukup tidur / rehat (7-9) jam sehari, mengamalkan pergerakan badan / senaman setiap hari ( 10 minit - 2 Jam), membuat pemeriksaan kesihatan diri serta mendapat rawatan perubatan bila-bila masa kita ada kesakitan. Dari segi aspek penampilan diri pula, kita akan lebih yakin jika kita sentiasa dapat menampilkan yang terbaik tentang diri kita. Selain kesihatan diri adalah amat penting kita sentiasa melaksanakan langkah-langkah penjagaan kebersihan dan kekemasan tempat kerja, rumah, kenderaan kita malah dengan siapa kita berkawan dan sebagainya. KesimpulanDengan langkah-langkah di atas dapat anda tanamkan pada diri anda, saya yakin bukan sahaja anda lebih yakin pada diri anda sendiri malah anda akan menjadi lebih produktif, lebih gembira, lebih berjaya serta menjadi teladan kepada orang lain pula. Insya-Allah. (Hakcipta Terpelihara) 2012, Taidin Suhaimin TAIDIN SUHAIMIN adalah penceramah profesional antarabangsa dari Sabah, Malaysia dalam bidang pembangunan diri, pengurusan dan komunikasi. Semenjak tahun 1993, ribuan peserta dari pelbagai lapisan dari lebih 200 buah organisasi di Asia Tenggara dan Timur Tengah telah mengikuti program-program latihan beliau. http://www.taidinsuhaimin.com | ![]() |
Friday, 29 June 2012
kaedah mempertingkatkan keyakinan diri!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment